mutakhir

Boleh pakai pelindung muka tanpa 'mask' ke sekolah [METROTV]

Oleh Amir Abd Hamid

KERAJAAN membenarkan kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah memakai pelindung muka tanpa pelitup muka ketika ke sekolah.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kelonggaran itu diberikan kerana kos pembelian pelitup muka pakai buang membebankan keluarga murid miskin terutama memiliki anak ramai.

Ismail Sabri berkata, keputusan itu dibuat ketika Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini dan dipersetujui Kementerian Kesihatan (KKM).

"Bagaimanapun penggunaan pelindung muka bersama pelitup muka adalah digalakkan. Jika mereka pakai pelindung muka dan pakai pelitup muka itu lebih baik.

"Namun, kalau tiada pelitup muka, ada pelindung muka sahaja pun sudah boleh dianggap pelindung kepada kesihatan diri sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media mengenai PKP hari ke-161 dan hari ke-77 Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di bangunan Parlimen, hari ini.

Ismail Sabri berkata, kelonggaran itu diberikan untuk mempermudah dan memberi sedikit ruang serta kelonggaran kepada murid miskin.

"Ini kerana saya difahamkan harga pelindung muka adalah lebih kurang RM3 hingga RM5 sekeping dan boleh diguna berbulan-bulan.

"Untuk membeli pelitup muka pakai buang, ini agak membebankan bagi keluarga kurang berupaya dan keluarga miskin.

"Kalau sekeping RM1, kalau anak lima orang, sudah RM5 kos untuk sehari," katanya.

Ismail Sabri berkata, bagaimanapun KKM perlu mengeluarkan garis panduan mengenai langkah untuk membersih dan mencuci pelindung muka bagi memastikan ia selamat digunakan untuk jangka masa lama.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: August 25, 2020 @ 3:05pm
    d