mutakhir

59 individu dikompaun ingkar PKP semalam

Oleh Suraya Roslan

SERAMAI 81 individu ditahan atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu 22 individu direman, manakala 59 individu pula dikenakan kompaun.

"Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk gagal menyediakan peralatan atau catatan keluar masuk (31), premis beroperasi lebih masa (empat), tidak memakai pelitup muka (16), serta aktiviti yang membabitkan kehadiran orang ramai sehingga menyukarkan penjarakan fizikal (24) dan tangkapan pendatang asing tanpa izin (6)," katanya menerusi kenyataan mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), hari ini.

Mengenai Ops Benteng, Ismail Sabri berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengadakan 62 sekatan jalan raya di seluruh negara semalam dan memeriksa 28,481 kenderaan bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) terutamanya di lorong tikus dan berjaya menahan empat warga asing atas kesalahan imigresen.

"Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan, terutama di lorong tikus," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sejak 24 Julai hingga 25 Ogos lalu, 17,037 individu dari luar negara pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan mereka ditempatkan di 65 hotel dan lima Institut Latihan Awam (ILA).

"Daripada jumlah itu, seramai 7,419 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 56 individu dihantar ke hospital untuk rawatan manakala 9,562 individu discaj dan dibenarkan pulang," katanya.

Katanya, PDRM juga mengadakan 298 pemeriksaan terhadap individu yang sedang menjalani kuarantin wajib di kediaman masing-masing semalam dan kesemua individu terbabit didapati mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuat pemantauan harian terhadap 12 jenis bekalan barangan di 821 premis perniagaan termasuk 606 daripadanya adalah peruncit, 186 membabitkan pemborong dan 29 pengilang.

"Secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperoleh.

"Pegawai penguat kuasa KPDNEHP juga melakukan 1,337 pemeriksaan khas pematuhan SOP PKPP dan mendapati 1,318 premis mematuhi SOP yang ditetapkan manakala 19 premis diberi nasihat kerana tidak memenuhi syarat kepatuhan SOP," katanya.

Selain itu, katanya, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) membuat pemeriksaan di 22 tapak binaan di seluruh Malaysia membabitkan 57 anggota penguat kuasa.

"Hasil pemeriksaan mendapati 18 tapak binaan mematuhi SOP ditetapkan manakala empat tapak binaan tidak patuh SOP dan diberi amaran," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: August 26, 2020 @ 2:50pm
    d