mutakhir

Temco Amanjaya: Penduduk mula beli bekalan makanan [METROTV]

Oleh M Hifzuddin Ikhsan

PENDUDUK tiga kawasan perumahan di Ambangan Heights, Amanjaya di Sungai Petani, mula membeli bekalan makanan tambahan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (Temco) mulai tengah malam ini.

Tinjauan di Zon Kenanga, Melor dan Mawar petang tadi, mendapati ramai penduduk berbaris di pasar raya mini dan kedai berdekatan bagi membeli beras, makanan kering serta keperluan harian lain.

Penduduk Zon Kenanga, Azhad Omar, 60, berkata, tindakan melaksanakan PKPD penting bagi menghalang pandemik Covid-19 terus tersebar di kawasan berkenaan.

"Bagaimanapun, kami ibu bapa sedikit kesal apabila tindakan menutup Sekolah Kebangsaan (SK) Ambangan Heights dilakukan agak lewat, walaupun selepas ada kes positif dikesan sebelum ini.

"Kebanyakan penduduk faham langkah kerajaan melaksanakan PKPD dan kami akan berusaha mematuhi arahan, cuma diharap kerajaan ada bantuan disalurkan selepas ini," katanya yang juga pesara.

Bagi penduduk Zon Mawar, Rahimah Ibrahim, 47, berkata pengalaman ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu, menyebabkan dia agak tenang berhadapan PKPD.

"Saya cuma beli bekalan makanan untuk tiga ke empat hari sahaja dan kebanyakan makanan yang dibeli boleh disimpan agak lama.

"Perasaan risau tetap ada, tetapi kami dimaklumkan kedai dan pasar raya sekitar kawasan rumah masih dibenarkan dibuka bagi memastikan bekalan makanan tidak terputus," katanya.

Hari ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan PKPD Secara Pentadbiran di Aman Jaya berkuat kuasa tengah malam ini.

Berikutan itu, penduduk di tiga kawasan perumahan terbabit tidak dibenarkan keluar zon, manakala orang luar tidak dibenarkan memasuki zon terbabit.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan melaksanakan sekatan jalan raya serta kawalan di jalan keluar masuk kawasan terbabit mulai 12.01 tengah malam ini.

Info PKPD Ambangan Heights, Amanjaya

  • Membabitkan 22,360 isi rumah
  • PKPD dilaksana mulai tengah malam ini sehingga tarikh ditetapkan
  • Kawasan perumahan golongan berpendapatan sederhana dan rendah
  • Terletak kira-kira lima kilometer dari Sungai Petani
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: August 27, 2020 @ 7:31pm
    d