mutakhir

Temco Amanjaya: Penduduk sudah bersedia

Oleh Zuliaty Zulkiffli

PENDUDUK di sekitar Amanjaya, Sungai Petani membabitkan Zon Kenanga, Mawar dan Melur bersiap sedia untuk menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (Temco) bermula malam ini.

Tinjauan wartawan di tiga zon itu mendapati kebanyakan penduduk di kawasan terbabit membeli barangan keperluan petang tadi untuk kegunaan sepanjang tempoh Temco dilaksanakan.

Peniaga, Noranasihah Amizi, 28, berkata, perniagaan menjual jeruk dan makanan ringan yang dijalankan akan memberi kesan kepadanya kerana baru mula berniaga selepas berehat akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu.

Katanya, apabila menteri mengumumkan Temco akan bermula malam ini, dia perlu bersedia membeli barangan rumah untuk mengelakkan kekurangan makanan.

"Masa PKP dulu saya berniaga melalui pakej penghantaran ke rumah (COD) tetapi kurang mendapat sambutan kerana sebelum Covid-19, saya berniaga di pasar malam.

"Namun saya dah siap beli barang rumah untuk menghadapi Temco yang dilaksanakan kerana tak tahu sampai bila ia akan berakhir," katanya ketika ditemui, hari ini.

Penduduk, Mohd Zamri Mazlan, 32, berkata, dia sudah membeli barangan keperluan makanan selama tiga bulan kerana tidak tahu apa yang berlaku ketika Temco dilaksanakan.

Katanya, apa yang penting keperluan susu tepung untuk bayinya yang berusia lima bulan kerana bimbang susah untuk mencari stok ketika Temco nanti.

"Saya beli siap-siap sebab pengalaman ketika PKP dulu membuatkan saya dan keluarga lebih bersedia.

"Nak keluar pun kena pakai pelitup muka dan cecair sanitasi kuman kerana kita tak tau sapa yang kita akan jumpa. Takut ada yang positif," katanya.

Mekanik, Ahmad Firdaus Yajunas, 35, berkata, ramai pelanggan menghubunginya dan minta kenderaan mereka siap dengan cepat kerana tidak tahu bila tempoh Temco tamat.

Katanya, lebih masalah kerana banyak alat ganti kenderaan tidak dapat dibeli kesan akibat PKP lalu menyebabkan dia terpaksa keluar mencarinya di tempat.

"Saya dah beli barang makanan untuk seminggu tadi dan harap cukup nanti," katanya.

Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Temco akan dilaksanakan di Amanjaya, Sungai Petani dalam sidang media, hari ini.

Beliau berkata, pelaksanaan Temco itu diputuskan hasil Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP.

"PKPD Secara Pentadbiran ini berkuat kuasa 12.01 tengah malam, 28 Ogos sehingga satu tempoh yang akan dimaklumkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan membabitkan tiga zon di Aman Jaya, iaitu Kenanga, Mawar dan Melur.

"PKPD Secara Pentadbiran ini membabitkan 22,360 isi rumah merangkumi 265 rumah dan kesemua akan disaring," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: August 27, 2020 @ 8:17pm
    d