mutakhir

17 premis perniagaan diberi nasihat gagal patuh SOP

Oleh Amir Abd Hamid

SEBANYAK 17 premis perniagaan diberikan nasihat kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Tindakan itu dilakukan dalam pemeriksaan dan pemantauan harian yang dilaksanakan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) semalam.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebanyak 1,024 pemeriksaan khas pematuhan SOP PKPP dilakukan dan mendapati 1,007 premis mematuhi SOP yang ditetapkan manakala 17 premis diberi nasihat kerana tidak patuh SOP.

"Dalam tempoh PKPP ini, kerajaan menggesa pengusaha dan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan kawalan kendiri termasuk penjarakan fizikal dan kebersihan diri terutamanya dalam aktiviti jual beli barangan keperluan harian.

"Mengenai bekalan barangan keperluan asas, semalam penguat kuasa KPDNHEP membuat pemantauan harian ke atas 12 jenis bekalan barangan di 690 premis perniagaan termasuk peruncit (504), pemborong (157) dan pengilang (29).

"Secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperolehi," katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan media hari ini mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ke-165 dan hari ke-81 PKPP.

Sementara itu katanya, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) membuat pemeriksaan di 8 tapak binaan di seluruh Malaysia semalam yang membabitkan 29

anggota penguat kuasa.

"Hasil pemeriksaan mendapati tujuh tapak binaan mematuhi SOP manakala satu tapak binaan tidak patuh SOP dan diberikan amaran.

"Berhubung operasi sanitasi awam Covid-19 pula, Ops Sanitasi Awam di bawah kawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sejak 30 Mac lalu melakukan 9,771 operasi sanitasi merangkumi 134 zon.

"Sebanyak 12,902 premis disanitasi iaitu 2,702 pusat perniagaan, 5,682 bangunan kerajaan, 1,595 kawasan perumahan termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR), 2,569 tempat awam dan 354 pasar raya," katanya.

Menurutnya, semalam sebanyak 11 operasi sanitasi dilakukan meliputi sembilan zon termasuk lima zon kuning dan empat zon hijau yang membabitkan tujuh negeri antaranya Melaka (tiga operasi), Sabah (dua operasi), Sarawak (dua operasi) serta masing-masing satu operasi di Kedah, Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur.

"Operasi sanitasi ini membabitkan 83 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta 135 anggota dari agensi lain. Lapan jentera JBPM turut terbabit dalam operasi sanitasi awam ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: August 29, 2020 @ 5:29pm
    d