mutakhir

2 mengaku salah, 4 mohon dibicarakan kes gaduh tular

Oleh Omar Ahmad

ENAM lelaki dihadapkan di Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini, atas kesalahan bergaduh dan merusuh di sebuah kedai makan di Forest City, Gelang Patah pada 23 Ogos lalu.

Bagaimanapun empat dari mereka minta dibicarakan, manakala dua lagi mengaku bersalah di hadapan Majistret Mohd Zulhilmi Ibrahim.

Dua yang mengaku salah ialah kerani kilang, R Navin Kumar, 23, dan operator kilang, T Subaraj, 19, yang tidak diwakili peguam.

Kedua-dua mereka dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM1,200.

Empat lagi tertuduh iaitu M Tishan dan K Shakty, masing-masing 19 tahun, G Yoganathan, 31, dan G Suresnayar, 30, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Keempat-empat mereka dibenarkan diikat jamin RM2,500 ringgit setiap seorang, selepas permohonan perbicaraan diterima.

Mengikut kertas pertuduhan, kesemua enam individu dituduh secara bersama merusuh menggunakan kerusi dan meja di sebuah kedai makan di Forest City, Gelang Patah pada 23 Ogos lalu, lebih kurang 8 malam.

Kes didakwa mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama.

M Tishan yang bekerja sebagai mekanik kereta, dan K Shakty sebagai operator kilang, diwakili peguam R Ramjahentherau.

Manakala G Yoganathan dan G Suresnayar yang tidak bekerja sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diwakili peguam Datin Freda Sababatin bersama Veeranesh Babu, dan Foo Fang Leong.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norhayati Fatullah akan disebut semula 29 September ini.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar menerusi laporan media pada 25 Ogos lalu memaklumkan pihaknya sedang mengesan enam lelaki yang terlibat dalam pergaduhan di kafe terbabit.

Menurutnya, video rakaman pergaduhan berdurasi 2.07 minit yang tular di media sosial itu, dipercayai berlaku akibat perselisihan faham.

Berita berkaitan

6 ditahan dipercayai mabuk, bergaduh ketika sambut hari jadi

Disiarkan pada: September 1, 2020 @ 2:04pm
d