mutakhir

Sarawak lanjut moratorium SKMS [METROTV]

Oleh Mohd Roji Kawi

SARAWAK melanjutkan tempoh moratorium bagi pinjaman Skim Kredit Mikro Sarawak (SKMS) hingga Disember tahun ini susulan lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg berkata, berikutan keputusan itu, peminjam hanya akan mula membayar balik pinjaman mereka pada kadar biasa, tahun depan.

Beliau berkata, keputusan itu diambil bagi meringankan beban perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negeri ini yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

"Kita akan melanjutkan tempoh moratorium bagi pinjaman SKMS yang diumumkan dalam pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) hingga Disember tahun ini," katanya kepada media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Usaha Sama Pembangunan Hartanah antara Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) dan UDA Holdings Berhad (UDA), di Kuching, hari ini.

Sebelum ini, kerajaan negeri bersetuju menangguhkan pembayaran balik pinjaman PKS selama enam bulan bermula April hingga September 2020.

Abang Johari dipetik berkata, menerusi BKSS, kerajaan negeri membantu usahawan menangguhkan tempoh bayaran balik pinjaman SKMS sehingga September dan kadar faedah pula ditanggung oleh kerajaan negeri.

Kerajaan negeri memperuntukkan RM50 juta bagi melaksanakan SKMS untuk membantu meringankan beban usahawan kecil yang terjejas sejak negara dilanda Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: September 1, 2020 @ 5:25pm
    d