mutakhir

Rahmat PKP indeks jenayah turun

Oleh Ruwaida Md Zain

SHAH ALAM: Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula sejak 18 Mac lalu menjadi salah satu faktor penurunan indeks jenayah di kawasan tadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh sebanyak lebih 30 peratus hingga Julai lalu.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, selain PKP, tindakan pencegahan jenayah yang dilakukan juga berkesan menurunkan indeks jenayah di kawasan terbabit.

"Bagi tempoh Januari hingga Julai 2020, daerah Sungai Buloh mencatatkan jenayah indeks sebanyak 370 kes berbanding tempoh sama tahun lalu sebanyak 535 kes, iaitu penurunan sebanyak 165 kes atau 30.84 peratus.

"Manakala kejadian jenayah di kawasan industri dan kilang pula, hanya terdapat satu kes tahun ini berbanding 14 kes pada tahun lalu bagi tempoh yang sama.

"Dengan statistik itu, dapat dirumuskan bahawa IPD Sungaj Buloh berjaya merancang tindakan pencegahan jenayah dengan amat baik dan berkesan.

"Selain itu, mereka terikat dengan PKP, bila PKP ramai tidak dapat keluar rumah, ini jadi salah satu faktor, hendak keluar kena tahan dan kena kompaun," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan Program Neighbourhood Watch Polis Selangor Siri 2/2020 anjuran bersama Polis Selangor dan SEERS Berhad, di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed dan Pengarah SEERS Berhad Datuk Ken Foo Kwok Hsing.

Noor Azam berkata, beliau yakin kejayaan itu turut disumbangkan oleh permuafakatan melalui semangat kejiranan yang sedia wujud di kawasan terbabit.

"Menjadi hasrat saya agar kejayaan seperti ini seharusnya dilaksana dan diperluaskan ke kawasan perindustrian dan pusat perniagaan di daerah-daerah lain juga," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, dalam usaha menurunkan kadar jenayah, pihaknya juga melaksanakan program Oscar di seluruh daerah di Selangor sejak Februari tahun lalu.

"Menerusi operasi ini, pegawai polis akan keluar pada setiap malam minggu untuk bertemu masyarakat.

"Kita juga meminta masyarakat untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: September 3, 2020 @ 2:06pm
    d