mutakhir

Tahan 198 individu kononnya 'kebal' Covid-19

Oleh Yusmizal Dolah Aling

Putrajaya: Seramai 198 individu ditahan atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail sabri Yakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 184 individu dikompaun manakala sembilan individu direman dan lima individu lagi dijamin.

Katanya, antara kesalahan ingkar arahan PKP itu termasuk gagal menyediakan peralatan atau catitan keluar masuk (25) dan tidak memakai pelitup muka (17 individu).

Selain itu, 41 individu ditahan kerana terbabit dengan aktiviti membabitkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal, aktiviti di dalam pub atau kelab malam (109), gagal mematuhi arahan kuarantin (1), dan disyaki menjalankan aktiviti pelacuran seramai dua individu.

"Dari 1 Mei hingga 2 September 2020, seramai 4,889 Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati), 713 tekong serta 246 penyeludup ditahan. Turut ditahan 446 bot dan 481 kenderaan yang terbabit dalam percubaan mencerobohi sempadan negara.

"Semalam polis mengadakan 63 Sekatan Jalan Raya Operasi Benteng di seluruh negara dan memeriksa 23,368 kenderaan bagi mengekang kemasukan Pati terutamanya di lorong-lorong tikus. Pihak PDRM berjaya menahan seorang warga asing atas kesalahan imigresen.

"Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus," katanya tadi.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuat pemantauan harian ke atas 12 jenis bekalan barangan di 831 premis perniagaan termasuk peruncit (622), pemborong (185) dan pengilang (24).

Menurutnya, secara keseluruhan bekalan barangan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperolehi.

"Pegawai penguatkuasa KPDNEHP juga melakukan 1,201 pemeriksaan khas Pematuhan SOP PKPP dan mendapati 1,175 premis mematuhi SOP yang ditetapkan manakala 26 premis diberi nasihat kerana tidak patuh SOP.

"Dalam tempoh PKPP ini, kerajaan ingin menggesa pengusaha dan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan kawalan kendiri termasuk penjarakan sosial dan kebersihan diri terutamanya dalam aktiviti jual beli barangan keperluan harian," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: September 3, 2020 @ 3:28pm
    d