mutakhir

CAKE beri masa hingga 9 September...

Oleh Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Penduduk dan peniaga terjejas akibat Kluster Sivagangga yang berhasrat untuk memfailkan saman terhadap pemilik restoran Nasi Kandar Salleh di Napoh masih boleh berbuat demikian sehingga 9 September ini.

Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (CAKE), Mohd Yusrizal Yusoff berkata, setakat ini seramai 200 penduduk dan peniaga sudah memfailkan saman bernilai RM1.5 juta pada 19 Ogos lalu.

"Kita masih mengalu-alukan sesiapa sahaja yang terjejas akibat Kluster Sivagangga untuk memfailkan saman bagi menuntut kerugian kepada lelaki berkenaan bersama-sama CAKE.

"CAKE beri masa sehingga 9 September ini kerana yakin masih ada penduduk dan peniaga mahu menuntut kerugian selepas mereka perlu menjalani kuarantin ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran bermula 3 hingga 26 Ogos lalu," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Katanya, mereka yang terjejas boleh menghubungi wakil-wakil di setiap mukim atau menghubungi talian 04-7718241 atau menghantar e-mel ke penggunakedah@gmail.com dan Facebook Persatuan Pengguna Kedah.

"CAKE sudah mengadakan pertemuan sebanyak dua kali bersama penuntut saman kluster berkenaan berhubung kaedah saman dan tindakan yang boleh diambil," katanya.

Pada 19 Ogos lalu, media melaporkan 200 penduduk memfailkan saman ke atas pemilik Nasi Kandar Salleh di Mahkamah Tinggi Alor Setar kerana menyebabkan penularan Covid-19 di kawasan itu.

Saman itu difailkan melalui CAKE yang mewakili penduduk sekitar Napoh ke atas pemilik kedai, Nezar Mohamed Shabur Batcha, 57, bagi menuntut ganti rugi RM1.5 juta.

Sebelum ini, Nezar Mohamed yang menjadi individu pertama positif Covid-19 bagi Kluster Sivagangga dihukum penjara lima bulan dan denda RM12,000 kerana didapati bersalah ingkar perintah kuarantin.

Akibat perbuatannya, lebih 45 kes positif Covid-19 dilaporkan berlaku di Kubang Pasu, Padang Terap dan Kulim.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: September 4, 2020 @ 6:46pm
    d