mutakhir

2 lelaki 'gelang putih' ditahan

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Sungai Petani: Dua lelaki ditahan polis kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (Temco) di Ambangan Heights, Amanjaya di sini, semalam.

Ketika ditahan, kedua-duanya didapati memakai 'gelang putih' dan menetap di kawasan Zon Kenanga.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, tangkapan pertama membabitkan seorang lelaki berusia 21 tahun pada 9.20 malam di Jalan Sungai Lalang-Bukit Selambau.

Menurutnya, lelaki berkenaan ditahan di lokasi berhampiran Zon Kenanga 8 Ambangan Heights.

"Hasil pemeriksaan mendapati, lelaki itu melanggar syarat kuarantin tanpa memberikan alasan yang munasabah.

"Berikutan itu, dia dibawa ke Subtek Balai Komuniti Ambangan Height untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Adzli berkata, hasil siasatan terhadapnya mendapati lelaki itu keluar rumah untuk membeli rokok.

Menurutnya, dia dipercayai keluar menggunakan jalan tikus dengan berjalan kaki sebelum ditahan polis.

"Lelaki yang tidak bekerja itu sudah diambil keterangan dan diberikan jaminan polis selepas keterangan diambil.

"Siasatan juga mendapati, lelaki itu didapati melakukan kesalahan kali kedua melanggar keluar dari Zon Temco iaitu kali pertama pada 3 September lalu pada 2.45 pagi di Jalan Sungai Lalang menghala ke Bukit Selambau," katanya.

Sementara itu, menurutnya, lelaki kedua yang ditahan malam tadi adalah seorang pengawal keselamatan berusia 33 tahun.

Menurutnya, lelaki itu ditahan di Jalan Sungai Lalang-Bukit Selambau berhampiran Zon Kenanga 2, Ambangan Height pada jam 9.45 malam.

Adzli berkata, lelaki itu ditahan ketika sedang berjalan kaki dan menunggu rakannya dan dia gagal memberi sebarang alasan munasabah keluar rumah dari kawasan Temco.

"Hasil soal siasat mendapati, lelaki itu memberi alasan keluar untuk membeli makanan dan dipercayai keluar melalui jalan tikus dan dibawa ke balai polis komuniti untuk tindakan lanjut," katanya.

Adzli berkata, pihaknya sudah mengambil keterangan dari lelaki itu dan diberikan jaminan polis selepas keterangan diambil.

Menurutnya, kedua kes itu disiasat mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan/Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: September 7, 2020 @ 1:55pm
    d