mutakhir

Pengunjung pub, kelab malam paling ramai ditahan ingkar PKPP

Oleh Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Seramai 797 individu dikompaun semalam kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata seramai 873 individu ditahan kerana melanggar arahan PKPP dan 580 daripadanya ditahan membabitkan pengunjung dan aktiviti pub serta kelab malam.

"Antara kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk gagal menyediakan peralatan atau catatan keluar masuk (22), premis beroperasi lebih masa (52), tidak memakai pelitup muka (52), serta aktiviti yang membabitkan kehadiran orang ramai sehingga menyukarkan penjarakan fizikal (118) dan tangkapan pendatang asing tanpa izin (39).

"Selain itu, tujuh individu ditahan kerana melakukan aktiviti pelacuran, langgar perintah kuarantin (2) dan seorang ditahan kerana menghalang tugas penjawat awam," katanya menerusi kenyataan mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hari ini.

Mengenai Ops Benteng, Ismail Sabri berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengadakan 79 sekatan jalan raya di seluruh negara semalam dan berjaya menahan 30 pendatang asing tanpa izin (Pati) dan empat penyeludup.

"Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong tikus," katanya.

Menurutnya, sejak 24 Julai hingga semalam, 24,781 individu dari luar negara pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan mereka ditempatkan di 67 hotel dan empat Institut Latihan Awam (ILA) serta swasta.

"Daripada jumlah itu, seramai 9,842 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 66 individu dihantar ke hospital untuk rawatan manakala 14,873 individu telah discaj dan dibenarkan pulang," katanya.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuat pemantauan harian terhadap 12 jenis bekalan barangan di 661 premis perniagaan termasuk 469 daripadanya adalah peruncit, 167 membabitkan pemborong dan 25 pengilang.

"Secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperoleh.

"Pegawai penguat kuasa KPDNEHP juga melakukan 1,088 pemeriksaan khas pematuhan SOP PKPP dan mendapati 1,080 premis mematuhi SOP yang ditetapkan manakala lapan premis diberi nasihat kerana tidak memenuhi syarat kepatuhan SOP," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: September 7, 2020 @ 2:47pm
    d