mutakhir

Siasatan kes dadah di Langkawi dibuat secara menyeluruh

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman akan menghantar pasukannya ke Langkawi, Kedah bagi melakukan siasatan menyeluruh terhadap dakwaan penglibatan anggota polis yang mewujudkan rangkaian tokan dadah mereka sendiri.

Pengarahnya Datuk Zamri Yahya berkata, pihaknya akan menyemak kaedah siasatan dan meneliti rekod siasatan yang dijalankan berkaitan kes dadah di pulau terbabit.

"Saya mencari masa yang sesuai dan akan turun ke Pulau Langkawi sendiri bagi menjalankan siasatan menyeluruh.

"Kalau kita dapat dari sumber terbuka, kita akan dapat konklusi yang tidak tepat, jadi kita kena mendalami dengan lebih tersusun dan berobjektif untuk dapatkan gambaran yang lebih tepat," katanya ketika ditemui selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Harian Metro menerusi laporan eksklusifnya pada 3 September lalu mendedahkan kegiatan penagihan dan penjualan dadah membabitkan tokan kecil yang dikatakan dikawal seorang anggota polis dan konconya.

Laporan itu mendedahkan masalah dadah di pulau peranginan terbabit tertumpu kepada pembabitan secara langsung anggota pasukan beruniform biru.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador mengakui pihaknya menyedari kewujudan kegiatan penagihan dan penjualan dadah di Langkawi yang dipercayai didalangi anggota polis serta konco-konconya.

Menurutnya, pihaknya juga sudah mengambil beberapa langkah drastik bagi mengatasi masalah itu.

Berita berkaitan

  • Bebaskan bumi Langkawi dari dadah
  • Langkah drastik atasi kartel di Langkawi
  • Disiarkan pada: September 8, 2020 @ 1:48pm
    d