mutakhir

PDRM guna 'template' laksana PKPD Kota Setar

Oleh Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggunakan pengalaman menguat kuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa lokasi bagi melaksanakan arahan sama di daerah Kota Setar, Kedah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, polis Kedah boleh mengambil pendekatan dibuat di daerah Kluang dan Hulu Langat dalam melaksanakan PKPD Secara Pentadbiran di 28 mukim dalam daerah berkenaan.

"'Template' (contoh) sudah ada, jadi kita laksanakan saja. Saya tidak nampak ada apa-apa masalah di situ (pelaksanaan PKPD) dan semua akan berjalan lancar," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas berhubung persiapan PDRM dalam melaksanakan PKPD Secara Pentadbiran di daerah Kota Setar, Kedah bermula hari ini sehingga 25 September ini.

Abdul Hamid berkata, beliau menyeru kepada orang ramai supaya tidak bersikap mementingkan diri dengan melakukan aktiviti berisiko tinggi seperti membuka kelab malam sehingga awal pagi tanpa penjarakan fizikal di premis itu.

"Saya minta hentikan perbuatan (langgar PKPD) ini, berikan ruang dan peluang kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mencapai ke tahap 'zero' kes," katanya.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan PKPD Secara Pentadbiran berkuat kuasa jam 12.01 tengah malam tadi sehingga 25 September ini membabitkan 28 mukim di daerah Kota Setar.

Ia membabitkan 366,787 isi rumah di kawasan seluas 422 kilometer.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: September 11, 2020 @ 5:52pm
    d