mutakhir

Jangan tutup pasar, sekolah di Tawau - Ismail Sabri

Oleh Hazsyah Abdul Rahman

Sandakan: Pihak berkuasa tempatan (PBT) dilarang menutup pasar dan sekolah di Tawau susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Penjara Tawau.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau menerima maklumat berkaitan penutupan sekolah dan pasar di daerah itu susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Tawau.

"Sama ada benar atau tidak ada arahan daripada PBT (pihak berkuasa tempatan) untuk menutup pasar dan sebagainya, ia adalah salah.

"Ia tidak boleh dilakukan kerana prosedur operasi standard (SOP) hanya boleh dikeluarkan oleh Kerajaan Persekutuan, bukan kerajaan negeri ataupun PBT," katanya dalam sidang media selepas membuat lawatan kerja di Kem Sri Kinabatangan di sini, hari ini.

Menurutnya, sekolah yang ditutup perlu dibuka semula.

Semalam, empat sekolah di Tawau ditutup dan hari ini surat arahan mengenai penutupan pasar Tawau bermula esok tular di media sosial.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata keadaan sangat terkawal di Lahad Datu dan Tawau walaupun ada PKPD.

Katanya, ia hanya berlaku di dalam Penjara Tawau dan lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, bukannya di luar.

Justeru, beliau berkata orang ramai tidak perlu bimbang dan takut mengenai perkembangan itu.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: September 11, 2020 @ 9:08pm
    d