mutakhir

Pembudayaan norma baharu tak bercanggah syariah

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Pembudayaan norma baharu sudah mengambil kira ijtihad ulama sekali gus tidak bercanggah dengan syariah Islam, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau berkata, terdapat perkara tertentu yang sememangnya nampak bercanggah dengan syariah Islam seperti penjarakan saf ketika solat berjemaah namun ia sebenarnya masih dalam kerangka hukum ditetapkan melalui ijtihad.

"Kerajaan juga pasti melihat pelbagai sudut (dalam menetapkan norma baharu) berpandukan kaedah kaedah fiqh yang menyebutkan bahawa tindak-tanduk imam (pemerintah) terhadap rakyatnya hendaklah didasarkan kepada maslahah (kepentingan umum semasa).

"Apa yang kita buat (norma baharu) ini bukanlah (bergantung) kepada satu pendapat (ulama) saja dan tidak boleh (ikut) pendapat ulama' yang lain. (Harus diingat bahawa) penetapan hukum syarak juga didasari oleh ijtihad," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Nadwah Penyelarasan Sekretariat NGO Dakwah Islam Perak di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Datuk Mohd Yusop Husin dan Exco Agama Islam dan Penerangan Perak, Mohd Akmal Kamaruddin.

Zulkifli memberi reaksi itu ketika diminta mengulas video tular baru-baru ini mengenai pendakwah terkenal tanah air yang mempersoalkan amalan norma baharu ketika penularan Covid-19 wajar dikaji semula.

Menerusi video itu, pendakwah berkenaan mendakwa tatacara solat berjemaah bercanggah dengan syariat Islam apabila perlu mengambil jarak berbanding dirapatkan seperti saranan hadis.

Zulkifli berkata, penjelasan mengenai amalan norma baharu sudah terdapat dalam buku yang ditulisnya bertajuk 'Soal Jawab Fiqh Covid-19', merangkumkan himpunan soalan lazim yang sering dikemukakan berkaitan hukum dan permasalahan dalam suasana wabak Covid-19.

"Pembudayaan norma baharu juga adalah berdasarkan pandangan daripada Muzakarah Majlis Fatwa (MF) Kebangsaan, fatwa di peringkat negeri, bahkan fatwa ulama di peringkat antarabangsa," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: September 12, 2020 @ 12:23pm
    d