mutakhir

Tidak perlu kuarantin - Ismail Sabri

Oleh Hazsyah Abdul Rahman

Sandakan: Individu yang pulang ke Semenanjung atau Sarawak dari Sabah tidak akan dikuarantin.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menafikan khabar angin berkaitan keperluan kuarantin wajib kepada rakyat Malaysia dari Sabah pulang ke Semenanjung dan Sarawak selepas bertugas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Katanya, ia adalah maklumat palsu dan tegasnya dia sendiri akan umumkan hal itu jika benar.

"Itu berita palsu. Tidak ada konon-kononnya saya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengatakan bahawa yang balik daripada Sabah ke Semenanjung akan di kuarantin.

"Tidak betul dan pergerakan dari Sabah ke Semenanjung masih bebas seperti dahulu.

"Kalau ada pengumuman mengenai kawalan, saya yang akan buat. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pun saya yang buat pengumuman," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Jentera Barisan Nasional Libaran sempena PRN Sabah Ke-16 di Markas BN di Bandar Labuk Jaya, di sini, hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial kononnya individu yang pulang dari Sabah ke Semenanjung atau Sarawak akan dikuarantin.

Dalam pada itu, beliau memberi peringatan dan perhatian kepada rakyat di Sabah.

"Ramai yang membuat rumusan seolah-olah menggambarkan Tawau dan Lahad Datu dalam keadaan yang bahaya ramai yang takut nak keluar.

"Jadi saya nak maklumkan bahawa apabila kita tutup penjara tersebut atau membuat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Tawau kita membuat saringan kepada semua yang berada di Penjara termasuk pegawai-pegawai penjara dan keluarga mereka.

"Jadi apabila kita membuat saringan keputusannya keluar dalam masa dua tiga hari. Jadi mungkin kita nampak peningkatan yang tinggi tetapi ia berlaku dalam penjara itu," katanya.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: September 12, 2020 @ 9:27pm
    d