mutakhir

PKPD: 10 kampung dilanda banjir kilat

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Dugaan berganda buat penduduk 10 kampung di daerah Kota Setar yang sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran apabila rumah mereka dinaiki air, petang tadi.

Hujan lebat yang melanda daerah itu sejak jam 5 petang tadi menyebabkan kawasan perkampungan itu mengalami banjir kilat.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Leftenan (PA) Muhammad Hilmi Yaakob berkata, banjir kilat itu melanda tiga mukim di daerah Kota Setar iaitu Mukim Titi Gajah, Bukit Pinang dan Anak Bukit.

Menurutnya, hasil pemantauan dilakukan anggota APM Kota Setar mendapati paras air meningkat dari sungai berhampiran berikutan hujan lebat.

"Antara kampung terbabit adalah Kampung Bohor, Kampung Alor Perang, Kampung Alor Senjaya, Kampung Teluk dan Kampung Seberang Anak.

"Selain itu, Kampung Seri Pasir, Kampung Lapangan Terbang, Kampung Bukit Pinang, Kampung Alor Ganu dan Seberang Cheger turut dinaiki air," katanya ketika dihubungi hari ini.

Muhammad Hilmi berkata, hasil pemantauan anggota APM mendapati paras air naik sedalam 0.3 hingga 0.6 meter sejak jam 6 petang tadi.

Katanya, setakat ini anggotanya masih lagi melakukan pemantauan dan paras air semakin meningkat.

"Bagaimanapun tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat ini di kawasan yang terbabit," katanya.

Difahamkan, kebanyakan penduduk di beberapa kawasan terbabit baru selesai menjalani ujian saringan Covid-19 dan masih menunggu keputusan selain memakai gelang merah jambu.

Sementara itu, penduduk Kampung Pulau Kerengga, Anak Bukit, Muhammad Hidayat Mahmud, 21, berkata, sekiranya keadaan hujan lebat berterusan malam ini, berkemungkinan rumahnya juga akan dimasuki air.

"Kami (penduduk kampung) sudah bersiap sedia mengangkat barang ke tempat tinggi dan sekiranya perlu berpindah, kami akur.

"Kawasan ini kerap dinaiki air setiap kali hujan lebat tetapi kali ini air sangat deras," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: September 12, 2020 @ 10:29pm
    d