mutakhir

Tak perlu pembelian panik di PKPD Pentadbiran

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Penduduk yang berada di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran tidak perlu melakukan pembelian panik sepanjang arahan itu dikuatkuasakan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, pihaknya memberi jaminan bekalan makanan termasuk susu, beras dan tepung mencukupi.

Katanya, keyakinan yang diberikan itu berdasarkan beberapa siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKPD sebelum ini.

"Jangan berlaku pembelian panik kerana stok barang keperluan mencukupi jadi tak perlu bimbang.

"Sebab memang kita masa PKP yang pertama dulu kita mampu tangani, jadi PKPD ini rasa lebih mudah untuk kita tangani, jadi tidak perlu risau (isu kekurangan bekalan)," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Perjumpaan Alumni Sekolah Menengah Agama Mahmudiah di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Rosol turut mengingatkan peniaga di kawasan PKPD supaya tidak menaikkan harga barang dengan sesuka hati.

Katanya, pihaknya sentiasa memantau perkara berkenaan dan tindakan tegas akan dikenakan kepada mereka yang mengambil kesempatan menaikkan harga.

"Kita tidak akan berkompromi jika ada yang mengambil kesempatan dalam keadaan susah dan jika ada laporan, kita akan ambil tindakan.

"Orang ramai juga digesa membuat aduan jika merasakan ditipu dengan kenaikan harga yang mendadak dengan aduan boleh dibuat menerusi Ez ADU KPDNHEP yang boleh diakses pada bila-bila masa," katanya.

PKPD secara pentadbiran dilaksanakan di 28 mukim di daerah Kota Setar, Kedah selama 14 hari sehingga 25 September depan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: September 13, 2020 @ 10:50am
    d