mutakhir

Tidak rehat demi siapkan mural [METROTV]

Oleh Baharom Bakar

Kuala Terengganu: "Saya mengambil masa antara dua hingga tiga jam sehari bergantung kepada keadaan cuaca untuk menyiapkan mural ini," kata Ahmad Abdul Ghawi.

Ahmad adalah Guru Penolong Kanan Kokurikulum Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Bariah di sini, yang sanggup mengenepikan waktu rehat untuk melukis mural berkaitan Covid-19 di dinding sekolah berkenaan.

Katanya, lukisan itu memaparkan sejarah bermulanya penularan pandemik Covid-19 di negara ini sebagai ingatan kepada pelajar.

Turut dipaparkan tarikh bersejarah bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac hingga 31 Mac lalu sehingga tarikh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Selain, langkah pencegahan bagi mengelak penularan Covid-19 seperti memakai pelitup muka, membersih tangan dan penjarakan fizikal turut dipaparkan.

"Saya tidak menggunakan peruntukan sekolah atau sumbangan kewangan daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk membeli cat dan berus serta peralatan lain bagi menghasilkan mural ini.

"Sebaliknya, saya hanya menggunakan baki cat lama yang ditemui dalam stor sekolah," katanya, hari ini.

Ahmad berkata, idea untuk melukis peristiwa bersejarah yang berlaku di seluruh dunia termasuk di negara ini pada dinding sekolah itu dicetuskan oleh pengetua sekolah, Amran A Razak.

Menurutnya, dia turut dibantu guru di sekolah berkenaan untuk menyiapkan lukisan mural itu.

Katanya, cabaran utama untuk melukis mural bersaiz 7.31 meter panjang dan tiga meter tinggi itu adakah cuaca tidak menentu.

"Ada kalanya saya terpaksa menahan bahang panas matahari, selain cuaca hujan.

"Namun, saya berpuas hati kerana lukisan mural itu berjaya disiapkan dalam tempoh ditetapkan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: September 13, 2020 @ 3:30pm
    d