mutakhir

PKPD: Kes Mahkamah Alor Setar berjalan ikut panduan

Oleh Noor Atiqah Sulaiman

Putrajaya: Semua kes di Kompleks Mahkamah Alor Setar akan berjalan seperti biasa dan mengikut panduan yang ditetapkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran.

Menurut kenyataan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Istana Kehakiman, pengendalian kes mengikut panduan itu dilakukan berikutan pelaksanaan PKPD Secara Pentadbiran di daerah Kota Setar, Kedah yang turut membabitkan penutupan premis kerajaan termasuk Kompleks Mahkamah Alor Setar.

"Mahkamah berkenaan akan mengikut Panduan Pengendalian Kes-Kes di Mahkamah Seluruh Malaysia Berikutan Perintah Kawalan Pergerakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit 1988 dan Akta Polis 1967 yang dikeluarkan oleh Pejabat ini pada 17 Mac lalu.

"Panduan ini akan digunakan sepanjang tempoh pelaksanaan PKPD secara pentadbiran mengikut kesesuaian dan tertakluk kepada pengumuman dari semasa ke semasa oleh kerajaan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Tambahnya, sekiranya agensi kerajaan, peguam dan orang awam mempunyai sebarang pertanyaan mengenai perkara itu boleh menghubungi Mahkamah Tinggi Malaya di talian 03-8880 3704 atau emel ke pmt@kehakiman.gov.my.

Selain itu, pertanyaan berkenaan juga boleh diajukan ke Mahkamah Rendah Malaya di talian 03-8880 9418 atau emel di pmrm@kehakiman.gov.my

Pada 10 September lalu, Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan 28 mukim di Kota Setar, Kedah akan dilaksanakan PKPD secara pentadbiran bermula 11 September sehingga 25 September ini.

Pelaksanaan PKPD secara pentadbiran itu selepas mengambil kira peningkatan kes positif COVID-19 kluster Sungai dan Tawar di daerah berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: September 14, 2020 @ 11:25am
    d