mutakhir

Polis perketat kawalan PKPD Zon Melor

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Sungai Petani: Polis perketatkan kawalan di Zon Melor, Ambangan Heights di sini, bagi memastikan penduduk tidak cuba keluar dari kawasan itu yang masih di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (Temco).

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, ia kerana kawasan itu terletak bersebelahan Zon Mawar yang tamat PKPD Temco mulai hari ini.

Menurutnya, kawat duri sudah dipasang sekitar Zon Melor serta tiga pos kawalan dan satu sekatan jalan raya (SJR) akan dipantau seramai 63 anggota polis dan 25 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) secara bergilir.

"Terdapat seramai 2,400 penduduk dari 609 rumah di Zon Melor perlu menjalani perintah kuarantin sehingga 27 September ini.

"Kawasan ini tiada lorong tikus tetapi kita bimbang kerana hanya jalan raya memisahkan Zon Melor dan Zon Mawar berikutan kedua-dua kawasan ini terletak di seberang jalan sahaja," katanya ketika ditemui hari ini.

Mengulas lanjut, Adzli berkata, tiada sebarang aktiviti perniagaan, berkumpul, berbual bersama jiran dan keluar ke surau dibenarkan di Zon Melor setakat ini.

"Saya dimaklumkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menukar gelang putih kepada gelang merah jambu dan semua penduduk di zon ini perlu memakainya.

"Kita akan tutup Zon Melor sepenuhnya dan penduduk di Zon Mawar serta Zon Kenanga yang masih pakai gelang merah jambu tidak boleh keluar kediaman mereka," katanya.

Beliau berkata, polis juga akan menambah anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) di kawasan itu bagi memudahkan pemantauan dilakukan dan bantuan kepada penduduk yang terjejas akan terus disalurkan.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob berkata, kerajaan memutuskan PKPD Temco di Amanjaya membabit Zon Mawar dan Zon Kenanga ditamatkan malam tadi.

Bagaimanapun, PKPD Temco Zon Melor disambung bermula hari ini sehingga 27 September berikutan terdapat 12 kes positif dilaporkan selepas ujian saringan kedua Covid-19 dilakukan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: September 14, 2020 @ 4:23pm
    d