mutakhir

120 Pati Ditahan Dalam Op Benteng

Oleh Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Seramai 120 Pendatang Asing Tanpa izin (Pati) ditahan dalam Operasi Benteng, semalam.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, selain itu dua orang tekong ditahan manakala tiga kapal dan empat kenderaan dirampas pihak berkuasa.

Katanya, sembilan Pati ditahan di Pengkalan Kubor, Kelantan kerana memasuki negara ini melalui laluan tidak sah.

"Di Teluk Penawar, Bandar Penawar, Johor, pasukan ATM berjaya menahan lima Pati kerana tiada dokumen pengenalan diri yang sah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata 68 individu ditahan atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Daripada jumlah itu, seramai 66 individu dikompaun manakala dua individu direman.

"Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk ingkar perintah PKPD seramai 21 orang, gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran diri (18), tidak memakai pelitup muka (18), penjarakan fizikal (6), gagal melunaskan bil kuarantin (3), serta tangkapan pendatang asing tanpa izin seramai dua orang," katanya.

Menurutnya, sejak 24 Julai sehingga 15 September 2020, seramai 29,438 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan ditempatkan di 72 hotel dan lapan premis lain termasuk Institut Latihan Awam (ILA) serta Institusi Pengajian Swasta di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah dan Labuan.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 9,737 individu sedang menjalani proses Kuarantin Wajib manakala 71 individu dihantar ke hospital untuk rawatan.

"Seramai 19,630 individu discaj dan dibenarkan pulang.

"Mereka pulang dari 32 negara, iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, UAE, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, UK, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: September 16, 2020 @ 3:49pm
    d