mutakhir

Jangan panik, harga barangan di Kota Setar terkawal

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

Sekinchan: Tiada aduan berhubung kenaikan harga barang keperluan di daerah Kota Setar, Kedah yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (Temco) berkuat kuasa sejak 11 September lalu.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata, tiada isu berhubung kenaikan harga barangan dan makanan di daerah itu dilaporkan kepada pihaknya ketika ini.

Menurutnya, penduduk dinasihati tidak melakukan pembelian panik sepanjang PKPD dikuatkuasakan.

"Jangan lakukan pembelian panik kerana stok barang keperluan mencukupi. Jadi, tidak perlu bimbang.

"Masa PKP yang pertama dulu, kita mampu tangani. Jadi, PKPD ini kita yakin dapat tangani, jadi tidak perlu risau (isu kekurangan bekalan)," katanya selepas Program Jualan Malaysia (PJM) dan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) di Khind - Mistral Industries Sdn Bhd, di sini, tadi.

Sementara itu, beliau meminta penduduk menyalurkan sebarang maklumat sekiranya berlaku kenaikan harga barangan dan peniaga menyorok bekalan barangan keperluan harian.

"Kita akan sentiasa melakukan operasi pemeriksaan bagi mengambil tindakan terhadap peniaga demi melindungi kebajikan pengguna," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: September 16, 2020 @ 4:24pm
    d