mutakhir

Ramai pengunjung pub, kelab ingkar PKP

Oleh Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Walaupun masih tidak dibenarkan beroperasi, aktiviti di pub dan kelab malam tetap berleluasa ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan 292 pengunjung premis itu ditahan semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mereka juga paling ramai melakukan kesalahan mengingkari arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), berbanding keseluruhan 584 orang yang ditahan.

"Daripada jumlah itu, 568 individu sudah dikompaun, manakala 16 individu ditahan reman.

"Selain kesalahan di pub/ kelab malam, 224 kes mengingkari penjarakan fizikal, 18 kes ingkar perintah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri (17), tidak memakai pelitup muka (14), ceroboh kawasan larangan (13), dan premis beroperasi lebih masa (6)," katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan media hari ini mengenai pelaksanaan PKP hari ke-184 dan hari ke-100 Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menurutnya, Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat 57,117 pemeriksaan, semalam bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPP.

"Sebanyak 2,713 Pasukan Pematuhan yang membabitkan 12,227 anggota sudah membuat pemantauan di 3,838 pasar raya, 5,022 restoran serta 1,363 penjaja, 1,029 kilang, 3,541 bank dan 3,541 pejabat kerajaan.

"Juga dipantau, sebanyak 1,052 terminal pengangkutan darat, 205 terminal pengangkutan air serta 88 terminal pengangkutan udara," katanya.

Selain itu, katanya, sebanyak 9,980 operasi sanitasi merangkumi 135 zon dilaksanakan menerusi Operasi Sanitasi Awam Covid-19 di bawah kawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan

Tempatan (KPKT) sejak 30 Mac lalu.

Ismail Sabri berkata, sebanyak 13,011 premis disanitasi terdiri 2,712 pusat perniagaan, 5,728 bangunan kerajaan, 1,600 kawasan perumahan termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR), 2,617 tempat awam dan 354 pasar raya.

"Semalam juga 12 operasi sanitasi di zon merah, zon kuning dan zon hijau (8) membabitkan lima negeri iaitu Sabah (tiga operasi), Kedah (tiga operasi), Pulau Pinang (dua operasi), Melaka (dua operasi) dan Sarawak (dua operasi)," katanya.

Operasi itu dilakukan 31 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), 128 anggota pihak berkuasa tempatan (PBT) dan sembilan daripada lain-lain agensi.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: September 17, 2020 @ 3:24pm
    d