mutakhir

Periksa catalytic converter, elak tragedi hidu karbon monoksida

Oleh Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Setiap pengguna kenderaan perlu peka kepada tahap kecekapan alat pemangkin asap atau catalytic converter yang dipasang pada sistem ekzos kenderaan.

Ini kerana alat berkenaan penting untuk menukar semua gas beracun dan bertoksik khususnya karbon monoksida kepada karbon dioksida yang kurang berisiko.

Pakar kimia Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Darfizzi Derawi berkata, sifat gas karbon monoksida atau CO adalah tidak berbau dan tidak boleh dilihat.

Menurutnya, kehadiran gas itu tidak boleh dikesan dengan pancaindera kerana ia terhasil daripada aktiviti pembakaran separa atau tidak lengkap kerana kekurangan oksigen.

Katanya, jika pembakaran lengkap berlaku, maka ia akan menghasilkan karbon dioksida.

"Kita lihat beberapa kes kematian yang berlaku sebelum ini membabitkan kereta berhenti atau tidak bergerak, namun enjin serta penghawa dingin masih terpasang.

"Justeru, setiap kenderaan mesti dilengkapi dengan catalytic converter yang cekap pada sistem ekzos. Ia akan menjadi gas karbon monoksida bertukar kepada karbon dioksida yang kurang kandungan toksik," katanya.

Beliau mengulas laporan muka Harian Metro hari ini mengenai tragedi menyayat hati membabitkan empat sekawan apabila tiga daripadanya meninggal dunia dan seorang masih kritikal akibat keracunan gas karbon monoksida.

Keempat-empat mangsa ditemui tidak sedarkan diri, semalam dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) di parkir di sebuah stesen minyak di Samagagah, Lebuhraya PLUS arah utara, dekat Permatang Pauh, Pulau Pinang.

Darfizzi berkata, berdasarkan beberapa kes sebelum ini didapati ia membabitkan kenderaan berusia lima tahun ke atas, dan kemungkinan besar alat catalytic converter sudah tidak berfungsi dengan cekap.

Menurutnya, ia menyebabkan gas karbon monoksida tidak boleh ditukarkan kepada karbon dioksida dengan secara total atau jika sistem ekzos mengalami kebocoran juga berisiko.

"Kebocoran (sistem ekzos) boleh berlaku atas pelbagai sebab seperti terhentak di jalan dan sebagainya.

"Ia akan menjadi risiko tinggi jika kita memberhentikan kenderaan tanpa menutup enjin dan kekurangan oksigen di persekitaran seterusnya boleh berlaku lebih banyak penghasilan karbon monoksida," katanya.

Ditanya mengenai sikap pemandu atau penumpang tidur dalam kenderaan tidak bergerak dengan penghawa dingin dan enjin terpasang serta tingkap ditutup sepenuhnya, Dr Darfizzi menjelaskan ia tidak menjadi masalah.

Menurutnya, apa yang penting, sistem pengudaraan kenderaan berada dalam keadaan sempurna termasuk alat catalytic converter beroperaso dengan cekap.

"Tetapi jika kita rasa was-was, bukalah tingkap. Namun, itu bukanlah pilihan baik untuk menyelesaikan masalah pelepasan gas karbon monoksida.

"Buka tingkap pun, sebenarnya gas CO itu tetap akan masuk dan berada dalam ruangan kenderaan jika sistem catalytic converter tak efisyen," katanya.

Berita berkaitan

ASharifah Fariesha bakal bernikah Oktober tahun depan

Nor Aqilah masih kritikal

'Hati mula risau, hubungi anak tak dapat'

Kebocoran ekzos disyaki punca tragedi

Seorang lagi mangsa keracunan karbon monoksida maut

Pemandu pening kepala, muntah

Bapa sendiri jumpa anak, rakan

2 sahabat maut, 2 kritikal lemas karbon monoksida

Disiarkan pada: September 18, 2020 @ 4:48pm
d