mutakhir

Organ gagal berfungsi punca 3 gadis maut

Oleh Nur Izzati Mohamad

Bukit Mertajam: Punca kematian tiga gadis yang ditemui tidak sedarkan diri dalam kejadian di tempat parkir kereta sebuah stesen minyak di Sama Gagah, Khamis lalu adalah disebabkan terhidu gas karbon monoksida hingga menyebabkan kegagalan organnya berfungsi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, keputusan itu berdasarkan laporan bedah siasat yang dimaklumkan kepada pihak polis.

"Laporan bedah siasat mendapati bahawa benar ketiga-tiga mangsa maut kerana pelbagai organ badan mereka gagal berfungsi disebabkan terhidu karbon monoksida.

"Kini tinggal seorang lagi mangsa yang dirawat dan mari kita sama-sama doakan semoga dia cepat sembuh," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sebelum itu, Shafee berkata, kenderaan dinaiki empat sahabat berkenaan mengalami kebocoran di bahagian ekzos.

"Ketika juruteknik melakukan pemeriksaan ke atas kereta dinaiki empat mangsa dia mendapati berlaku kebocoran kerana bahagian itu mengeluarkan bunyi dan bau asap yang sangat kuat.

"Kebocoran itu menyebabkan asap disedut masuk ke ruang dalam kenderaan terbabit hingga mangsa tidak sedarkan diri kerana terhidu gas yang keluar," katanya.

Dalam kejadian itu, keempat-empat mangsa, Sharifah Fariesha Syed Fathi, Ayuni Shazwanie Shabri, Nor Adilah Mohd Safwan dan kembarnya, Nor Aqilah masing-masing berusia 21 tahun berhenti berehat di stesen minyak berkenaan sebelum meneruskan perjalanan pulang ke rumah masing-masing dekat Sungai Petani dan Gurun, Kedah.

Mereka yang belajar di sebuah kolej kejurawatan dekat Batu Caves, Selangor berhenti rehat sebelum ditemui tidak sedarkan diri akibat terhidu karbon monoksida.

Sharifah Fariesha ditemui maut di lokasi kejadian, manakala Ayuni Shazwanie meninggal dunia dalam perjalanan menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ).

Nor Adilah pula dilaporkan meninggal dunia selepas menerima rawatan di Hospital Angkatan Tentera Lumut, Perak.

Ketika ini, Nor Aqilah masih dirawat di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan Zainal Abidin, Kuala Lumpur.

Berita berkaitan

Aqilah belum beri reaksi positif

Nor Aqilah masih kritikal

'Hati mula risau, hubungi anak tak dapat'

Kebocoran ekzos disyaki punca tragedi

Seorang lagi mangsa keracunan karbon monoksida maut

Pemandu pening kepala, muntah

Bapa sendiri jumpa anak, rakan

2 sahabat maut, 2 kritikal lemas karbon monoksida

Disiarkan pada: September 19, 2020 @ 3:32pm
d