mutakhir

293 individu ditahan ingkar PKPP

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Seramai 293 individu ditahan atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), semalam dengan 269 orang dikompaun manakala 24 lagi direman.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara kesalahan dikesan adalah aktiviti dalam pub/kelab malam iaitu 124 individu, tiada penjarakan fizikal (85), tidak memakai pelitup muka (24) dan dua kes keluar rumah tanpa alasan munasabah di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

"Seramai 31 individu gagal menyediakan peralatan atau rekod butiran diri,premis beroperasi lebih masa (10) dan tangkapan warga asing tanpa dokumen perjalanan diri (97)dan gagal lunaskan caj kuarantin (2).

"Mengenai Operasi Benteng pula, seramai 75 pendatang asing tanpa izin (Pati), dua tekong dan lima penyeludup ditahan ketika cuba menyusup masuk ke dalam negara semalam, manakala empat kenderaan darat turut dirampas dalam operasi itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 91 sekatan jalan raya dilaksanakan dalam operasi berkenaan, membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Sementara itu, beliau berkata, sejak 24 Julai hingga semalam, seramai 31,830 individu sudah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan semua mereka ditempatkan di 67 hotel serta lapan premis termasuk Institut Latihan Awam (ILA) serta Institut Pengajian Swasta.

"Daripada jumlah itu, seramai 8,342 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, manakala 71 individu dihantar ke hospital untuk rawatan dan seramai 23,417 individu dibenarkan pulang," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: September 21, 2020 @ 2:51pm
    d