mutakhir

Cake kesan kenaikan harga barang di Kota Setar

Oleh Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Persatuan Pengguna Kedah (Cake) mengesan terdapat kenaikan harga barang keperluan di Kota Setar yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran sejak minggu lalu.

Setiausaha Cake, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, kenaikan harga itu dikesan selepas pihaknya membuat tinjauan di Pasar Besar Alor Setar selepas menerima aduan penduduk.

"Sayur-sayuran antara barang yang mengalami kenaikan harga agak tinggi iaitu kangkung naik daripada RM8 sekilogram (kg) kepada RM12; bendi RM6 sekilogram naik kepada RM8; bayam daripada RM3.50 sekilogram naik kepada RM5.50 dan kubis RM2 sekilogram naik kepada RM3.50.

"Turut mengalami kenaikan harga adalah bawang yang diimport dari India iaitu bawang besar daripada RM3 kepada RM4 dan bawang kecil daripada RM5 kepada RM7.

"Selain itu, harga telur semua jenis gred meningkat sebanyak tiga sen sebiji," katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan di pasar itu, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Yusrizal berkata, harga barang basah seperti ayam dan daging masih terkawal, kecuali ikan yang harganya meningkat, minggu lalu kerana faktor cuaca tetapi sudah kembali stabil.

Katanya, berdasarkan maklumat daripada peniaga dan peruncit, mereka terpaksa menaikkan harga berikutan kenaikan harga daripada pemborong.

"Walaupun peruncit dan peniaga menaikkan harga, namun keuntungan mereka tetap sama. Jadi kita minta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pemborong supaya tidak mengambil kesempatan ketika rakyat sedang berdepan pandemik Covid-19," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah Mohd Sharhan Mohd Arshad, ketika dihubungi berkata, pihaknya akan melakukan siasatan segera bagi memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: September 22, 2020 @ 4:28pm
    d