mutakhir

136 ditahan ingkar PKPP

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Masih ramai yang ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) apabila Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menahan 136 individu atas pelbagai kesalahan, semalam.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu seramai 36 individu direman manakala 100 lagi dikompaun.

Beliau berkata antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk aktiviti kelab malam (19), gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran pelanggan (11), penjarakan fizikal (43), tidak memakai pelitup muka (26), premis beroperasi tanpa kebenaran (4), tangkapan pendatang asing tanpa izin (22) dan kesalahan berkaitan PKPD (11).

"Pasukan Khas Operasi Pematuhan diketuai PDRM juga membuat 56,155 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPP.

"Sebanyak 3,442 pasar raya, 4,668 restoran dan 1,414 penjaja serta 1,981 pasar awam diperiksa. Selain itu, turut diperiksa, 3,412 tempat ibadah dan 1,486 tempat riadah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media berhubung Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), hari ini.

Berkaitan kuarantin wajib, beliau berkata, sejak 24 Julai sehingga semalam, 32,464 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan ditempatkan di 68 hotel, lapan Institut Latihan Awam (ILA) serta institut pengajian swasta di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah serta Labuan.

Sementera itu berhubung kawalan sempadan negara, Ismail Sabri berkata, menerusi Operasi Benteng yang dijalankan seramai 64 warga asing dan seorang tekong ditahan selain merampas lima kenderaan darat.

"Secara keseluruhannya dari 1 Mei sehingga 21 September seramai 7,012 individu ditahan ditahan di bawah Ops Benteng merangkumi Pati (5,992), tekong (737), dan penyeludup (283).

"Orang ramai diminta untuk menghubungi hotline National Task Force di talian 011-62511223 bagi menyalurkan maklumat berkenaan Pati dan jenayah rentas sempadan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: September 22, 2020 @ 5:45pm
    d