mutakhir

Bukan warganegara bayar caj penuh kuarantin

Oleh Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Semua individu bukan warganegara yang masuk daripada semua pintu masuk antarabangsa negara perlu membayar caj penuh kuarantin mulai hari ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagi warganegara pula, kerajaan memutuskan untuk mengekalkan subsidi kos kuarantin.

Menurutnya, mereka hanya perlu membayar kos penginapan sebanyak RM2,100 seperti diputuskan dan dilaksanakan sebelum ini, manakala kos operasi sebanyak RM 2,600 adalah kekal ditanggung kerajaan.

"Bagi bukan warganegara pula, mereka perlu membayar caj penuh tanpa subsidi kerajaan pada kadar RM4,700 (RM2,600 caj tetap pengoperasian dan RM2,100 kos penginapan).

"Bagi individu kedua dan ketiga yang berkongsi bilik dengan individu pertama, kos penginapan adalah separuh iaitu RM700, manakala bagi anak yang berusia di bawah enam tahun kos penginapan adalah percuma," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, seramai 67 pendatang asing tanpa izin (PATI), lima tekong dan tiga penyeludup dalam Op Benteng semalam.

Ismail Sabri berkata, daripada jumlah itu seramai lapan orang PATI ditahan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) atas kesalahan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Beliau berkata, mereka ditahan di Ladang Sungai Tengah, Johor.

Selain itu, katanya, polis berjaya menahan dua PATI atas kesalahan memasuki Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan dan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah di Pangkalan Haram Kebun di Pangkalan Kubor di Tumpat, Kelantan.

"Sebanyak 91 sekatan jalan raya (SJR) Op Benteng dilaksanakan semalam membabitkan 69 SJR polis, Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) 10 dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebanyak 12.

"Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong tikus," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: September 24, 2020 @ 4:00pm
    d