mutakhir

Tahanan wanita bolos berjaya diberkas semula

Oleh BERNAMA

Kuantan: Polis berjaya menahan semula tahanan wanita yang melarikan diri dari perkarangan Mahkamah Raub, pada 14 September lalu, di sebuah rumah di Kampung Gali, Raub, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Raub Superintendan Kama Azural Mohamed berkata suspek berusia 23 tahun itu ditahan pada 9 malam bersama-sama teman lelakinya berusia 22 tahun, yang dipercayai membantu wanita berkenaan melarikan diri.

"Kedua-dua suspek dijumpai di sebuah bilik dalam rumah itu dan serbuan juga menemukan motosikal yang dipercayai digunakan mereka pada hari kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kama Azural berkata siasatan awal mendapati suspek lelaki yang beralamat di Benta, Lipis mempunyai enam rekod kesalahan lampau termasuk berkaitan dadah dan pecah rumah.

Dalam kejadian 4.30 petang 14 September lalu, wanita itu yang berasal dari Dong, Raub nekad melompat dan membonceng sebuah motosikal yang berhenti di sebelahnya dalam keadaan tangan bergari untuk melarikan diri ketika hendak dibawa pulang ke lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Raub, selepas tamat prosiding mahkamah terhadapnya yang didakwa positif dadah.

Berita berkaitan

OKT wanita dibawa lari teman lelaki

Disiarkan pada: September 25, 2020 @ 2:28pm
d