mutakhir

Bincang SOP benar kanak-kanak solat di masjid

Oleh Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Kerajaan akan memperhalusi prosedur operasi standard (SOP) untuk membenarkan kanak-kanak bersolat di masjid dalam masa terdekat, kata Menteri di Jabatan Perdana (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Menurutnya, perbincangan mengenainya juga akan dibuat bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Nanti kita akan masukkan dalam perbincangan dengan MKN, saya akan lebih tertib dengan Majlis Fatwa Kebangsaan untuk memperhalusi perkara ini.

"Bagaimanapun kita akan tengok (isu) ini secara berhemah (apa bentuk) tindakan yang diambil. Takkan orang yang sembahyang kita halau... tidak sesuai," katanya pada sidang media selepas merasmikan Projek Bakul Rezeki Khaira Pusat Pungutan Zakat (PPZ) di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Ria di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas hantaran di Facebook (FB) oleh seorang lelaki yang mendakwa empat anaknya tidak dibenarkan masuk ke masjid di Putrajaya untuk bersolat.

Dakwa bapa empat anak itu, mereka akhirnya terpaksa bersolat di pekarangan masjid.

Mengulas lanjut, Dr Zulkifli berkata, konsep beragama memerlukan ketenangan dan perlu ditangani dalam keadaan berhikmah dan berhemah.

"Kita tidak boleh buat dalam keadaan keras, yang penting nasihat dan beritahu, bolehlah dia (ibu bapa) pilih tempat yang sesuai (untuk bersolat)," katanya.

Dalam pada itu, Dr Zulkifli mengakui berlaku peningkatan asnaf dengan istilah 'miskin secara mengejut' susulan pandemik Covid-19 dan pihaknya sudah berbincang dengan Baitulmal dan agensi berkaitan untuk sentiasa mengutamakan golongan itu.

Katanya, sebanyak RM350 juta sudah disalurkan kepada asnaf, gelandangan, penoreh getah, nelayan dan pelbagai golongan lagi sepanjang tempoh Covid-19, termasuk program hari ini yang diberikan kepada 650 penerima membabitkan peruntukan RM65,000.

Semua penerima daripada PPR Pantai Ria, Apartmen Taman Sri Murni Fasa 2, PPR Jalan Jelatek dan PPR Seri Alam 2.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: September 26, 2020 @ 2:15pm
    d