mutakhir

Kawalan flat Tongkang Yard diperketat

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Kubang Pasu: Polis memperketatkan kawalan di Rumah Pangsa Tongkang Yard, Seberang Perak, Alor Setar selepas Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Bersasar (TEMCO) dilanjutkan sehingga 7 Oktober depan.

Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, tindakan itu diambil bagi mengelakkan penduduk yang dikuarantin cuba keluar dari kawasan berkenaan sekali gus membendung penularan Covid-19.

"Penduduk di kawasan itu perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan perintah kuarantin yang dilaksanakan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, seramai 18 anggota polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bertugas untuk mengawal keseluruhan kawasan rumah pangsa terbabit.

Hasanuddin berkata, penugasan anggota dibahagikan kepada empat syif dan pihaknya tiada keperluan untuk menambah anggota, setakat ini.

Menurutnya, ini kerana ramai anggota polis baru sahaja menamatkan PKPD Secara Pentadbiran di daerah kota setar yang dilaksanakan sejak 11 September dan berakhir jam 12 tengah malam tadi.

Katanya, sembilan sekatan jalan raya (SJR) dan 10 laluan yang ditutup sebelum ini sudah dibuka semula untuk membolehkan penduduk daerah Kota Setar menggunakan laluan berkenaan seperti biasa.

"SJR di Kota Setar sudah habis, cuma di kawasan Rumah Pangsa Tongkang Yard saja, namun SJR di tempat lain masih beroperasi tetapi bukan Op Covid, itu Op Benteng," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: September 26, 2020 @ 6:49pm
    d