mutakhir

296 orang kunjungi premis hiburan dikompaun

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Seramai 296 pengunjung pusat hiburan di Persiaran Jalil, Bandar Bukit Jalil, di sini, dikompaun RM1,000 setiap seorang selepas ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Dalam serbuan jam 12.30 malam itu, empat individu terdiri daripada pengurus dan tiga warga asing iaitu dua China dan Korea pula ditahan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, bertindak atas maklumat Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur dibantu JSJ Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras menyerbu premis itu.

Menurutnya, ketika serbuan terdapat 296 warga tempatan membabitkan 195 lelaki dan selebihnya wanita berusia antara 17 hingga 39 tahun.

"Mereka dikenakan kompaun RM1,000 kerana melanggar PKPP. Polis juga menahan pengurus premis itu berusia 27 tahun dan dua wanita China serta lelaki Korea berusia 18 hingga 21 tahun," katanya.

Nik Ros Azhan berkata, polis juga merampas dua resit perniagaan, satu unit amplifier, dua audio, pembesar suara, empat botol minuman keras dan wang tunai RM606.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Perkara 11, Peraturan-peraturan Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 2020 dan Seksyen 76 Akta Eksais 1976," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: September 27, 2020 @ 1:48pm
    d