mutakhir

Kampung Permatang Janggus bertukar lengang... [METROTV]

Oleh Nur Izzati Mohamad

Kepala Batas: Keadaan lengang melanda Kampung Permatang Janggus, Penaga, di sini, selepas penutupan sebuah sekolah rendah di situ, semalam susulan seorang guru disahkan positif Covid-19.

Tinjauan mendapati lebih 1,200 penduduk mengambil langkah berjaga-jaga apabila mengurangkan pergerakan keluar masuk bagi memutuskan rantaian penularan wabak berkenaan.

Pada masa sama, Masjid Jamek Permatang Janggus yang terletak pada jarak lima meter berdepan Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Janggus turut memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) kepada jemaah untuk solat Jumaat, hari ini.

Setiausaha masjid berkenaan, Mansor Mat, 54, berkata ahli jawatankuasa masjid bermesyuarat semalam untuk mendapatkan keputusan pelaksanaan solat Jumaat selepas terdapat kes Covid-19 di kawasan itu.

"Kami membuat keputusan untuk meneruskan juga solat Jumaat apabila tidak menerima sebarang arahan daripada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

"SOP amat ketat di mana kita tidak sesekali benarkan jemaah yang tidak membawa sejadah dan pelitup muka masuk menunaikan solat Jumaat," katanya ketika ditemui, di sini.

Penduduk Ahmad Zaki Serat, 62, berkata keadaan kampung sunyi apabila penduduk mengambil langkah berjaga-jaga.

"Memang rasa cemas selepas dimaklumkan kawasan ini mempunyai kes Covid-19 dan kebanyakan penduduk mengambil langkah berjaga-jaga menyebabkan kawasan kampung sunyi.

"Kanak-kanak yang bersekolah di sini juga sedang menjalani kuarantin dan berharap sangat keputusan yang keluar nanti tidak serius," katanya.

Sementara itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Datuk Rozali Mohamud berkata, pihaknya akan menjalankan sanitasi jika Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memerlukan bantuan.

"Apabila ada kes positif Covid-19 dilaporkan, sanitasi akan dijalankan oleh KKM terlebih dahulu dan MBSP akan membantu jika mereka meminta bantuan," katanya.

Semalam, SK Permatang Janggus diarah tutup sehingga 8 Oktober ini selepas seorang guru wanita positif Covid-19.

Guru wanita itu dilaporkan tidak sihat ketika berada di sekolah sebelum dia pergi mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Kedah.

Difahamkan, guru wanita itu adalah isteri kepada seorang ahli politik di Kedah yang pergi berkempen di Sabah ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) itu, baru-baru ini.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 2, 2020 @ 3:20pm
    d