mutakhir

Lelaki sorok 'gelang pink' ditahan

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Petaling Jaya: Lelaki warga emas yang memakai gelang merah jambu ditahan polis kerana melanggar syarat kuarantin Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) Covid-19 di Damansara Damai, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, polis menerima maklumat daripada orang awam yang melihat seorang lelaki memakai gelang Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurutnya, lelaki itu berlegar di kawasan premis perniagaan dan cuba melindungi gelang dipakai menggunakan lilitan kain putih.

"Anggota segera ke lokasi dimaklumkan dan menahan lelaki berusia 63 tahun terbabit.

"Semakan mendapati lelaki itu baru pulang dari Sabah dan keputusan ujian saringan Covid-19 negatif.

"Namun, dia diarahkan menjalani kuarantin di rumah bermula 28 September hingga 11 Oktober," katanya dalam kenyataan hari ini.

Nik Ezanee berkata, polis akan membuat permohonan reman terhadap lelaki itu di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya, esok.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Beliau memberi amaran kepada individu dikenakan perintah kuarantin agar mematuhi arahan ditetapkan KKM dan tindakan tegas akan diambil kepada individu yang ingkar.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: October 5, 2020 @ 2:22pm
    d