mutakhir

Aktiviti perniagaan kembali 'bernyawa'

Oleh Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) yang disediakan kerajaan terbukti mampu memacu transformasi perniagaan dalam kalangan usahawan khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Selain khusus untuk melonjak semula ekonomi, ia juga memberi ruang kepada peniaga beralih kepada corak perniagaan baharu dan membentuk rantaian kepenggunaan berbeza daripada sebelum ini.

Pengerusi Pertubuhan Gerakan Transformasi Pengguna Malaysia (GTPM), Azman Kang Abdullah berkata, dengan adanya bantuan berjumlah RM2 bilion, ia membantu mengaktifkan semula aktiviti perniagaan dan membolehkan pengguna juga berbelanja ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, bukan saja bermanfaat kepada golongan peniaga, Prihatin memberi manfaat secara keseluruhan konteks kepenggunaan negara.

"Peniaga juga pengguna, itu realitinya. Jika mereka ini dapat beroperasi ketika semua aktiviti terjejas, maka ia berita baik kepada semua dan ia satu transformasi.

"Prihatin memberikan mereka peluang untuk menggerakkan semula ekonomi, bila semuanya berjalan, maka kita berada di landasan yang betul," katanya.

Kerajaan menyediakan dana khusus untuk PKS bernilai RM2 bilion dengan keutamaan kepada PKS yang belum pernah mendapat pinjaman dari bank sebelum ini.

Bagi usahawan Bumiputera, kerajaan menyediakan program pembiayaan RM500 juta yang disalurkan melalui dua agensi iaitu Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Sementara itu, Presiden Kelab Perantau 11 (KP11), Fairuz Mohamad berkata, bantuan berkenaan tepat pada masanya memandangkan rakyat terkesan dengan penularan pandemik itu.

Katanya, sebagai badan bukan kerajaan (NGO) yang menjalankan program bantuan sepanjang PKP, ada juga peniaga yang sebelum ini memperoleh pendapatan sendiri, terpaksa memohon bantuan untuk kelangsungan hidup.

"Ketika awal PKP, mereka masih ada simpanan lagi. Tetapi selepas itu simpanan makin berkurangan dan mereka perlu buat sesuatu.

"Bayangkan bagaimana keadaannya jika mereka ini tidak dibantu. Dengan baki simpanan yang sedikit, apa lagi sumber yang ada untuk menyara keluarga.

"Apa yang pasti, bantuan seperti ini memang membantu mereka. Ada yang gunakan ia sebagai modal untuk mulakan perniagaan semula yang terjejas teruk," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: October 6, 2020 @ 6:00am
    d