mutakhir

Tiada 'double standard' arahan kuarantin [METROTV]

Oleh Shamran Sarahan

Kuala Lumpur: "Bersama-sama saya yang dikehendaki menjalani kuarantin di rumah ialah tujuh Menteri dan enam Timbalan Menteri.

"Kesemua mereka ini juga tidak terkecuali daripada mematuhi arahan kuarantin, mereka mesti patuh kepada peraturan dan tindakan boleh diambil sekiranya mereka ingkar," kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin menegaskan kerajaan tidak ada double standard dalam perlaksanaan arahan kuarantin kepada rakyat di negara ini, tanpa mengira pangkat dan darjat.

"Saya sendiri pada masa ini sedang menjalani kuarantin di rumah setelah saya mempengerusikan satu mesyuarat yang dihadiri oleh seorang menteri yang disahkan positif Covid-19.

"Ini adalah SOP (prosedur standard operasi) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Sebagai Perdana Menteri saya tidak terkecuali daripada tertakluk kepada SOP, ini adalah kali kedua saya menjalani kuarantin di rumah sejak pandemik Covid-19 melanda negara kita. Saya mesti patuh kepada peraturan," katanya ketika Perutusan Khas Situasi Semasa Covid-19 yang disiarkan secara langsung di televisyen dan media sosial, hari ini.

Beliau turut memaklumkan, kerajaan menjangkakan kes Covid-19 dalam negara akan meningkat dalam masa terdekat ini.

Ini kerana, katanya, KKM menjalankan ujian saringan secara lebih agresif, termasuk di penjara dan pusat tahanan.

"Sebagai Ketua Kerajaan, saya memantau secara dekat perkembangan kes-kes Covid-19. Saya akan membuat keputusan penting untuk membendung virus ini daripada terus menular dalam masyarakat kita.

"Ini termasuklah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Bersasar atau Temco di kawasan yang dikenal pasti sebagai zon merah," katanya.

Meskipun masih dalam tempoh kuarantin, Muhyiddin berkata, beliau akan mengadakan sidang video secara harian dengan menteri dan pegawai kanan kerajaan untuk mengurus Covid-19.

"Ini adalah keutamaan saya pada masa ini. Inilah norma baharu yang sering kita perkatakan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: October 6, 2020 @ 7:46pm
    d