mutakhir

Lambaian rindu dari seberang tambak [METROTV]

Oleh Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Akibat kerinduan selepas terpisah selama lapan bulan akibat Covid-19, seorang lelaki bertindak melambai kepada isteri dan dua anaknya dari Woodlands Waterfront Park di Singapura.

Mohd Izwan Sarip yang terkandas di republik itu sejak Mac lalu meminta isterinya, Liana Idris yang tinggal di bandaraya ini membawa kedua-dua anaknya, di kawasan laut yang memisahkan kedua negara, supaya dia dapat melihat mereka dari jauh.

Kisah rindu seorang suami dan bapa itu tular di media sosial sejak pagi tadi, walaupun dia memuat naik 'pertemuannya' dengan keluarganya itu di akaun Facebooknya sejak Ahad lalu.

Menerusi posting yang dimuat naik dalam laman Facebook Mohd Izwan, dia membuat panggilan video kepada isterinya, dari Woodlands Waterfront Park di Singapura.

Menerusi video yang dirakamkan rakannya yang turut bekerja dan menetap di Singapura, Mohd Izwan kemudian dilihat bertanya 'mana awak?' sebelum dibalas oleh isterinya, 'saya kat sini, pakai baju hitam putih. Nampak tak?' sebelum dilihat berdiri di jeti dan melambaikan tangan kepada isterinya itu.

Dalam video berkenaan juga turut didengari suara dua anak Mohd Izwan yang ceria sambil berkata 'hai papa'.

Video berkenaan yang tular mengundang sebak di hati netizen yang mendoakan supaya Mohd Izwan dan keluarga terus tabah sehingga sempadan kedua negara dibuka nanti.

Sempadan Malaysia dan Singapura ditutup sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan18 Mac lalu, bagi mengekang penularan Covid-19.

Bulan lalu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dilaporkan berkata, pembukaan sempadan sepenuhnya Malaysia-Singapura bergantung kepada situasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga Disember ini.

Beliau dilaporkan berkata, KKM akan meneliti kes dan perkembangan penularan wabak Covid-19 sepanjang tempoh itu sebelum memutuskan pembukaan pintu sempadan berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: October 8, 2020 @ 2:05pm
    d