mutakhir

Sektor ekonomi di Klang dibenar beroperasi dengan SOP ketat

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Industri dan aktiviti ekonomi di daerah Klang dibenarkan untuk terus beroperasi seperti biasa dengan pematuhan yang ketat kepada Prosedur Operasi Standard (SOP), kata Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan situasi kesihatan semasa di daerah itu dan kepentingan menjamin kemampanan ekonomi.

"Pihak berkuasa sudah diarah untuk meningkatkan penguatkuasaan pematuhan SOP untuk menjamin keselamatan pekerja dan rakyat di daerah Klang.

"Kerajaan menyedari syarikat dan industri termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sudah melabur untuk mewujudkan kemudahan dan langkah keselamatan serta protokol kesihatan tambahan di premis pekerjaan masing-masing sejak kerajaan membuka semula operasi sektor ekonomi pada awal Mei 2020," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri mesyuarat sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) ke-22 secara maya yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mesyuarat itu turut membincangkan secara khusus isu penularan pandemik Covid-19 termasuk situasi kes Covid-19 terbaru di daerah Klang.

Sehubungan itu, katanya kementerian ingin mengingatkan syarikat dan industri yang berkaitan bahawa wajib mematuhi SOP yang ditetapkan.

"Kegagalan syarikat untuk berbuat demikian boleh mengakibatkan operasi dihentikan serta-merta dan berdepan dengan tindakan undang-undang mengikut akta dan peraturan semasa," katanya.

Mohamed Azmin berkata, keputusan kerajaan ini mengambil kira keperluan untuk mengimbangi perlindungan keselamatan dan kesihatan rakyat serta menjamin kelangsungan pekerjaan dan usaha mencerdaskan ekonomi selain memastikan tiada gangguan rantaian bekalan seperti logistik, pengangkutan, makanan dan minuman dan lain-lain.

"Dalam memastikan keberkesanan dan kemampanan fasa pemulihan ekonomi pada masa ini, kerajaan bertegas untuk tidak akan berkompromi dalam usaha menjamin keselamatan dan kesihatan rakyat," katanya.

Negeri Selangor menyumbang 24 peratus kepada keseluruhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia dan 30 peratus daripada keseluruhan sektor pembuatan negara.

Dari aspek pasaran buruh, terdapat hampir 3.5 juta pekerja di Selangor iaitu 23.2 peratus daripada jumlah keseluruhan tenaga buruh negara.

Daerah Klang adalah pusat aktiviti perindustrian yang besar dan hab utama bagi pelabuhan kontena di Malaysia, dengan sumbangan aktiviti perdagangan di Pelabuhan Klang melebihi RM400 bilion pada 2019.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: October 8, 2020 @ 5:41pm
    d