mutakhir

Ditahan sengaja tidak amal penjarakan fizikal [METROTV]

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Sengaja tidak mengamalkan penjarakan fizikal. Itu antara kesalahan tertinggi direkodkan susulan penahanan 420 individu yang didapati ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, 145 individu ditahan atas kesalahan berkenaan manakala 117 lagi ditahan kerana tidak memakai pelitup muka.

Menurutnya, kesalahan lain adalah gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran diri (96); aktiviti di pusat hiburan (26); keluar rumah di kawasan PKPB tanpa alasan munasabah (26); premis beroperasi lebih masa (6); bekerja tanpa permit yang sah (3) dan menggaji pekerja asing tanpa permit yang sah (1).

"Daripada jumlah yang ditahan itu, 380 individu dikompaun manakala 39 individu direman serta seorang individu dijamin.

"Selain itu, menerusi Op Benteng pula seramai 31 pendatang asing tanpa izin (Pati), seorang tekong dan seorang penyeludup ditahan selain merampas 11 kenderaan darat.

"Sebanyak 130 sekatan jalan raya Op Benteng dilakukan kelmarin membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM)," katanya pada sidang media, disini hari ini.

Mengenai kuarantin wajib, Ismail Sabri berkata, sejak 24 Julai sehingga hari ini, seramai 43,968 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan ditempatkan di 68 hotel serta 15 premis lain.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, seramai 10,302 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, manakala 106 dihantar ke hospital untuk rawatan dan 33,560 dibenarkan pulang.

Dalam perkembangan lain, katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuat pemantauan harian terhadap 12 jenis barangan di 617 premis perniagaan termasuk 428 peruncit, 160 pemborong dan 29 pengilang.

"Pegawai penguat kuasa KPDNHEP juga melakukan 1,866 pemeriksaan khas Pematuhan SOP PKPP dan mendapati 1,821 premis mematuhi SOP ditetapkan manakala 44 premis diberi nasihat kerana tidak patuh SOP," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: October 8, 2020 @ 5:55pm
    d