mutakhir

Maki polis tegur tak pakai pelitup muka

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Kulim: Akibat ditegur kerana tidak memakai pelitup muka, seorang lelaki berang dan memaki seorang anggota polis sebelum menolak anggota berkenaan, semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim berkata, kejadian berlaku 9.15 pagi ketika lelaki berusia 51 tahun itu datang untuk membuat laporan tetapi tidak memakai pelitup muka.

Beliau berkata, anggotanya kemudian meminta suspek memakainya namun lelaki itu memaki hamun dengan suara tinggi.

"Suspek masuk tanpa menghiraukan teguran anggota berkenaan dan mengambil gambar menggunakan telefon bimbitnya sebagai provokasi.

"Suspek dinasihatkan sekali lagi supaya memadam gambar terbabit tetapi enggan dan berkeras tidak akan memadamnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Azhar berkata, suspek kemudian membaling beg galasnya sambil mencarut dan mencabar supaya menangkapnya jika berani.

Beliau berkata, kejadian itu disaksikan anggota pejabat di balai polis berkenaan.

"Suspek juga menolak badan pengadu menggunakan tangannya dan anggota polis itu berjaya menangkap suspek dengan menggari tangan suspek dibantu anggota lain.

"Ketika tangkapan dilakukan, berlaku pergelutan antara anggota dan suspek," katanya.

Azhar berkata, suspek yang menetap di Lunas dan juga penganggur itu mempunyai tiga rekod jenayah sebelum ini.

Beliau berkata, pihaknya merampas telefon bimbit dan beg galas untuk membantu siasatan.

"Suspek ditahan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan (menggunakan kekerasan jenayah), Seksyen 90 Akta Polis 1967 (berkelakuan tidak senonoh di balai polis) dan Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 (Ingkar arahan Prosedur Operasi Standart (SOP) tidak pakai pelitup muka).

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: October 9, 2020 @ 2:07pm
    d