mutakhir

PKPB Klang: Mohon kebenaran keluar di SJR

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Klang: Penduduk di Taman Sri Andalas, Bukit Tinggi dan Persiaran Pegaga yang melalui sekatan jalan raya (SJR) boleh memohon surat kebenaran keluar kawasan di khemah SJR.

Tinjauan Harian Metro mendapati rata-rata penduduk berpuas hati kerana mereka mudah berurusan untuk mendapatkan surat kebenaran.

Penuntut sebuah universiti swasta di Shah Alam Izrinda Nurani Rosli, 22 berkata, dia yang tinggal di Taman Sri Andalas perlu keluar kawasan bagi menghadiri kuliah di Shah Alam.

"Alhamdulillah, senang jika terus begini saya membuat permohonan hanya di khemah sekatan jalan raya.

"Setakat ini kami sekeluarga memang mengikut peraturan yang ditetapkan termasuk tinggal di rumah jika tidak ada keperluan untuk keluar," katanya ketika ditemui.

Sementara itu, tinjauan di beberapa masjid mendapati semuanya ditutup untuk solat Jumaat.

Seorang Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid berkata, pihaknya menerima arahan dari pengurusan masjid untuk tidak membenarkan jemaah masjid solat Jumaat.

"Ramai juga penduduk yang keliru dan datang ke masjid untuk solat Jumaat, dan semua AJK masjid sudah memberi penerangan kepada mereka.

"Masjid akan ditutup sehingga 23 Oktober ini selepas tamat PKPB," katanya.

Semalam, kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor hanya akan dilaksanakan di Mukim Klang.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, Mukim Kapar yang juga termasuk dalam Daerah Klang, tidak termasuk dalam PKPB.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 9, 2020 @ 2:38pm
    d