mutakhir

Majlis perkahwinan di kawasan PKPDB dibenarkan [METROTV]

Oleh Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Majlis perkahwinan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersyarat (PKPDB) dibenarkan namun perlu mematuhi prosedur operasi ditetapkan (SOP) kerajaan.

Menteri Kanan (kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sidang khas Majlis Keselamatan Negara mengambil maklum mengenai majlis perkahwinan yang dirancang di kawasan PKPDB dan bersetuju membenarkan majlis perkahwinan diteruskan dengan menepati setiap SOP yang diperkenalkan dan penambahan syarat baharu.

"Bagi penganjuran majlis perkahwinan di kampung atau taman perumahan ia perlu dilakukan dengan pengawasan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan jika diadakan di hotel ia perlu dengan pengawasan daripada pihak pengurusan hotel.

"Bagi penganjuran majlis yang kurang daripada 100 jemputan, tuan rumah perlu menyediakan dua anggota RELA, 100 hingga 300 jemputan (tiga anggota RELA), 300 hingga 500 jemputan (empat anggota RELA) dan bagi yang melebihi 500 jemputan akan ditetapkan oleh RELA mengikut jumlah kehadiran dan ruang kawasan majlis," katanya dalam sidang media harian, hari ini.

Katanya, bagi jemputan dari luar kawasan PKPDB mereka perlu menunjukkan kad jemputan majlis perkahwinan ketika melalui sekatan jalan raya.

"Bagi mereka yang berada di mukim yang dikenakan PKPDB, tiada masalah untuk pergi majlis berkenaan, tetapi di luar mukim seperti tetamu dari Kuala Lumpur, mereka perlu menunjukkan kad jemputan majlis perkahwinan bagi melepasi sekatan jalan raya," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 9, 2020 @ 5:54pm
    d