mutakhir

11 pasar malam berhampiran PKPB Klang ditutup sementara

Oleh Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengarahkan 11 pasar malam berhampiran Mukim Klang yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ditutup sementara waktu.

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Haris Kasim berkata, 11 pasar malam di bawah pentadbiran MBSA itu membabitkan kawasan Seksyen 17, Seksyen 25, Seksyen 29, Seksyen 30, Seksyen 31, Seksyen 32, Seksyen 34, Seksyen 36 dan Seksyen U13, Setia Alam.

"Pasar malam yang terbabit dengan penutupan ini berada dalam kawasan PKPB, ada bersempadan serta terlalu hampir dengannya.

"Contohnya, Kampung Padang Jawa, Kampung Lombong dan Setia Alam walaupun bukan dalam kawasan PKPB tetapi kedudukannya bersempadan dengan kawasan PKPB, malah ramai peniaga dan pembeli dari kawasan PKPB.

"Penutupan ini dibuat kerana kita sangat bimbang berlaku penularan wabak COVID-19," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Haris berkata, pihaknya juga sudah memaklumkan perkara itu kepada semua peniaga pasar malam di lokasi berkenaan untuk tempoh PKPB sahaja iaitu dua minggu.

"Tindakan penguatkuasaan termasuk sitaan barangan serta penamatan lesen akan diambil tanpa sebarang notis lanjut sekiranya peniaga gagal mematuhi arahan ini dan MBSA tidak akan menanggung sebarang kos kerugian yang berkaitan.

"Lokasi pasar malam adalah Jalan Padang, Kg Padang Jawa (Seksyen 17); Jalan 25/38, (Seksyen 25); Lorong Haji Yusoff; Kampung Lombong, (Seksyen 29); Lorong Haji Said, Jalan Kebun (Seksyen 30); Jalan Anggerik Mokara 31/E Kota Kemuning (Seksyen 31) dan TLK Jalan Sungai Rasau D 32/D (Berjaya Park), Seksyen 32.

"Jalan Hon 34/10 dan Jalan Stering 34/6 Bukit Kemuning (Seksyen 34), dan Jalan Sungai Kandis, Kampung Sungai Kandis (Seksyen 36). Sementara itu, Jalan Setia Perdana BB U13/BB dan Jalan A U13/A, Seksyen U13 Setia Alam, " katanya.

Sejak semalam, notis arahan penutupan bertarikh 9 Oktober itu tersebar di media sosial terutamanya di aplikasi WhatsApp penduduk sekitar Shah Alam.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 10, 2020 @ 8:18am
    d