mutakhir

Penduduk mula terima 'bakul makanan'

Oleh Abdul Rahemang Taiming

Kunak: Seramai 403 Ketua Isi Rumah (KIR) di Kampung Pangkalan di sini, menerima bantuan awal 'bakul makanan' susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) yang diumumkan kerajaan bermula tengah malam ini.

Pegawai Daerah Kunak Majaran Osman ketika dihubungi berkata, pengagihan bantuan oleh kerajaan negeri itu diselaraskan Pejabat Daerah dan dibuat lebih awal bagi membantu penduduk yang terjejas berikutan pelaksanaan PKPD di kawasan berkenaan.

Menurutnya, selain Kampung Pangkalan, dua lagi kampung iaitu Kampung Bagiang dan Kampung Kunak 3 turut diletakkan di bawah perintah PKPD.

"Berdasarkan bancian yang sudah dijalankan sebelum ini terdapat seramai 9,863 penduduk di ketiga-tiga kampung ini dijangka akan terkesan sepanjang pelaksanaan perintah PKPD ini.

"Bagaimanapun, penduduk tidak perlu bimbang kerana pengagihan bantuan akan disalurkan kepada mereka menerusi beberapa fasa namun ketika ini keutamaan diberikan kepada penduduk terjejas di Kampung Pangkalan," katanya.

Mengulas lanjut, Majaran berkata, bagi fasa pertama ini, bantuan akan turut diagihkan kepada 342 KIR rumah di Kampung Bagiang, manakala 375 lagi di Kampung Kunak 3, dalam masa terdekat.

Mengenai keluhan sesetengah penduduk yang mendakwa kekurangan bekalan tong gas cecair petroleum (LPG) di daerah itu, beliau berkata, pihaknya sudah mengarahkan pembekal dan pemilik premis berkaitan meningkatkan jumlah simpanan stok masing-masing bagi memenuhi permintaan dan keperluan penduduk.

Pada masa sama, beliau turut menasihatkan penduduk supaya mematuhi segala arahan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetap oleh kerajaan termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kunak Superintendan Baharin Md Tahir berkata, pasukan keselamatan termasuk anggota tentera turut ditempatkan di beberapa lokasi strategi bagi tujuan pemantauan selain kawalan keselamatan dan pergerakan penduduk.

"Tiada masalah dari segi pelaksanaan walaupun kita masih lagi mengetatkan peraturan sedia ada tetapi penduduk di sini memberi kerjasama yang baik.

"Selain itu, semua laluan tikus juga sudah dipasang dengan kawad duri bagi menghalang sebarang cubaan keluar dan masuk sekali gus memutuskan rantaian penularan pandemik Covid-19," katanya ketika dihubungi.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 10, 2020 @ 4:02pm
    d