mutakhir

PKPB Klang: Aktiviti ekonomi beroperasi seperti biasa

Oleh BERNAMA

Klang: Aktiviti ekonomi di mukim Klang yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berjalan seperti biasa dengan pematuhan sepenuhnya kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Tinjauan Bernama di sekitar Taman Sri Andalas, Bandar Bukit Tinggi, Bandar Klang dan Taman Bayu Perdana mendapati walaupun ada kawasan kelihatan agak lengang namun peniaga masih membuka premis masing-masing mengikut waktu ditetapkan bagi memenuhi keperluan harian masyarakat di situ.

Keadaan di restoran, kedai makan dan gerai di lokasi itu juga dilihat agak 'sunyi' susulan SOP PKPB hanya membenarkan makanan dibeli secara bungkus, menerusi khidmat penghantaran makanan atau pandu lalu.

Bagi pengusaha restoran nasi beriani di Taman Sri Andalas, Stellamary, 44, dia akur dengan arahan kerajaan walaupun pendapatannya agak merosot pada hari pertama pelaksanaan PKPB semalam.

"Disebabkan lokasi restoran ini di zon merah, kami memang patuh pada arahan kerajaan kerana tidak mahu wujud sebarang isu di kemudian hari dan bagi menjaga keselamatan semua.

"Pematuhan SOP PKPB memang memberi kesan kerana semalam, hanya dua pelanggan sahaja datang membeli makanan daripada kami. Jadi, untuk tempoh dua minggu ini, kami bergantung sepenuhnya kepada pembelian menerusi khidmat penghantaran makanan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Turut senada dengannya ialah pengusaha gerai tepi jalan iaitu Mohd Suffian Hairuddin, 36, yang berkata, pendapatannya agak merosot berikutan orang ramai tidak keluar rumah seperti sebelum ini.

"Kira-kira 50 peratus pendapatan saya berkurangan. Jalan raya di tempat saya berniaga ini ada sekatan jalan raya, jadi tidak ramai yang melaluinya. Pembelian hanya mengharapkan kepada khidmat penghantar makanan sahaja," katanya.

Bagi penghantar makanan, Abdul Rahim Samsuri, 39, pelaksanaan PKPB ibarat membuka 'pintu rezeki' kepadanya kerana setakat semalam sahaja, hampir 20 penghantaran dilakukan di sekitar lokasi zon merah.

Walaupun ingin 'mengejar' jumlah khidmat tempahan yang banyak, katanya, dia sentiasa memastikan dirinya mematuhi SOP ditetapkan dengan mengamalkan penjarakan fizikal, memeriksa suhu badan serta mengimbas kod aplikasi My Sejahtera di premis yang dikunjungi.

"Sebelum ini, jumlah tempahan penghantaran tidaklah banyak. Bagaimanapun, hari ini sahaja sejak saya mula bekerja pada kira-kira 11.30 pagi, sudah banyak tempahan yang masuk. Walaupun sibuk, saya sentiasa jaga SOP demi keselamatan diri," katanya.

Sebanyak 36 kawasan perumahan di mukim Klang terbabit dalam PKPB bermula semalam sehingga 23 Oktober ini susulan peningkatan kes pandemik Covid-19.

Namun, kerajaan memutuskan aktiviti ekonomi di lokasi terbabit dibenarkan beroperasi dengan pematuhan ketat SOP yang ditetapkan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 10, 2020 @ 8:03pm
    d