mutakhir

eBook bantu calon SPM di Sabah

Oleh Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Jabatan Pendidikan Sabah menyediakan modul pembelajaran dalam bentuk eBook untuk membantu calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) membuat persediaan sepanjang penutupan sekolah berikutan penularan pandemik Covid-19 di negeri ini.

Pengarahnya, Datuk Dr Mistirine Radin berkata, modul berkenaan boleh dimuat turun dalam gajet dan diakses secara luar talian (offline) untuk memudahkan pembelajaran di rumah.

Katanya, eBook yang dihasilkan Majlis Guru Cemerlang dan guru berpengalaman disediakan bagi setiap mata pelajaran sebagai langkah memastikan calon SPM di Sabah tidak ketinggalan dalam pelajaran.

"Jabatan Pendidikan Sabah dengan kerjasama Majlis Guru Cemerlang dan guru berpengalaman Sabah ada menyediakan modul SPM mengikut subjek.

"Modul itu disediakan dalam bentuk eBook yang boleh diakses oleh setiap pelajar dengan dimuat turun ke gajet masing-masing untuk diakses secara 'offline'," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai langkah yang diambil Jabatan Pendidikan Sabah bagi memastikan calon SPM di Sabah dapat membuat persediaan menghadapi peperiksaan itu walaupun tidak dapat ke sekolah.

Semua sekolah di negeri itu ditutup mulai esok sehingga 25 Oktober ini selaras keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada 9 Oktober lalu berikutan peningkatan kes Covid-19.

Mistirine berkata, eBook itu dapat memastikan calon SPM di negeri ini dilengkapi bahan bersesuaian yang dapat membantu mereka membuat persiapan bagi menghadapi peperiksaan berkenaan.

"Saya berharap guru dan pelajar dapat menggunakan sepenuhnya modul iyu agar mereka cukup bersedia menghadapi SPM," katanya.

Peperiksaan SPM bagi tahun ini dijadualkan semula pada Januari depan berikutan pandemik Covid-19.

Sebanyak 1,296 sekolah rendah dan menengah membabitkan kira-kira 500,000 murid dan pelajar terbabit di negeri ini ditutup mulai esok.

Ketika ini, sekolah di Lahad Datu, Semporna, Kunak dan Tawau sudah ditutup sejak akhir bulan lalu, manakala sekolah di sekitar ibu negeri, Penampang dan Putatan ditutup sejak awal minggu ini berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 11, 2020 @ 3:03pm
    d