mutakhir

Tiga penagih gagal bolos SJR PKPB

Oleh Juwan Riduan

Papar: Tiga penagih termasuk seorang wanita ditahan ketika cuba melepasi sekatan jalan raya (SJR) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berhampiran Balai Polis Bongawan, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 2 pagi itu, ketiga-tiga suspek berusia 20 hingga 30 tahun ditahan untuk pemeriksaan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Batholomew Ak Umpit berkata, hasil pemeriksaan mendapati seorang daripada suspek membawa beberapa peket plastik lutsinar.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati semua bungkusan berkenaan mengandungi dadah jenis syabu dengan anggaran berat 1.97 gram.

"Semua suspek kemudian ditahan dan direman untuk siasatan mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, tangkapan itu adalah salah satu usaha berterusan polis khususnya bagi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar dalam mengatasi masalah penyalahgunaan dadah.

"SJR juga dilakukan bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) PKPB dipatuhi sepanjang tempoh ditetapkan oleh kerajaan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: October 11, 2020 @ 4:40pm
    d